• Hock Seng (kiri) dan Hon Wai menunjukkan surat yang dihantar kepada kerajaan pusat berhubung isu LTABL sejak beberapa tahun lalu. 
  •  Hock Seng (kiri) dan Hon Wai menunjukkan surat yang dihantar kepada kerajaan pusat berhubung isu LTABL sejak beberapa tahun lalu.
 
GEORGETOWN - Jangan terus mengelirukan rakyat dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak benar mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL).

Setiausaha Politik Ketua Menteri, Wong Hon Wai berkata, kenyataan Setiausaha Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong yang menyalahkan kerajaan negeri terhadap isu itu dilihat tidak benar kerana ia sudah beberapa kali menulis surat kepada kerajaan pusat memohon peruntukan untuk menaiktaraf lapangan terbang itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri beberapa kali menulis surat kepada menteri yang terlibat termasuk pada 20 Mei 2009 namun maklum balasnya mendukacitakan.

“Ia ditulis sendiri Ketua Menteri, Lim Guan Eng kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah yang memohon kerajaan pusat memberi peruntukan RM500 juta untuk pembinaan terminal kargo bersepadu,” katanya kepada media di sini semalam.

Menurutnya, satu lagi surat dihantar kepada Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Ong Tee Keat memohon peruntukan RM850 juta untuk membina landasan kapal terbang baru serta menaik taraf terminal kargo udara bertaraf antarabangsa di LTABL.

“Surat bertarikh 18 Jun 2009 meminta terminal kargo udara bersepadu yang menggabungkan dua terminal kargo sedia ada dan sistem keselamatan terminal kargo yang dilengkapi dengan sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Selain itu, kerajaan negeri meminta landasan sedia ada dipanjangkan dari 3,500 kepada 4,000 meter serta membina sebuah landasan kapal terbang untuk menampung kenaikan kekerapan penerbangan ke negeri ini.

“Kita juga minta dua mesin imbasan bagi mengesan kemasukan barangan kargo yang merbahaya,” katanya.

Beliau berkata, permohonan dibuat berulang kali sejak beberapa tahun lalu dan bukan selepas timbul cadangan pembinaan lapangan terbang di Kulim, Kedah.

Sementara itu, Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom), Pengangkutan (Udara, Laut, Keretapi), Lim Hock Seng pernah menulis surat kepada Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Kong Cho Ha untuk memohon memperbesarkan LTABL berikutan kapasiti penumpang sudah mencapai lima juta orang.

“Apabila kerajaan pusat menaik taraf LTABL dengan kos RM250 juta, saya tulis surat kepada Cho Ha pada 14 Februari 2011 mengatakan projek itu hanya mampu menampung 5 juta penumpang sedangkan jumlahnya sudah mencapai 5.5 juta orang.

“Pada 23 Februari 2011, saya terima jawapannya bahawa tiada perancangan pembesaran LTABL sebaik sahaja projek pembesaran sedia ada disiapkan pada 2012. Dengan contoh surat yang diberikan, tuduhan Tong Keong sama sekali tidak benar,” katanya.

Terdahulu, Tong Keong meminta kerajaan negeri mengemukakan perkembangan pelan tindakan (blueprint) berhubung pembesaran LTABL.

Tong Keong berkata, jika kerajaan negeri menyediakan pelan tindakan itu, ia perlu dihebahkan kepada umum dan bukan merahsiakannya.